Menu:

Salasilah Guru Silat Cekak.
Guru-guru Silat Cekak

Panglima Ismail Panglima Kanan Negeri Kedah di zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin. Panglima Tok Rashid Panglima Kanan Negeri Kedah telah menerima Silat Cekak dari wasilah Panglima Ismail. Yahya Said (Pemegang Amanah) Menerima Silat Cekak dari Panglima Tok Rashid sebagai "Pemegang Amanah" selama 40 tahun dari 1925 hingga 1965. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden dari 1965 hingga 1986. Tuan Haji Ishak bin Itam Guru Utama merangkap Presiden PSSCM mulai dari 21 September 1986 hingga sekarang.


YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad
Pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Walaupun Ustaz Hanafi dilahirkan dari keluarga petani, namun kepentingan pada pelajaran amat diutamakan oleh bapanya dan beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Gunung bagi mendapatkan pendidikan awal sehingga darjah empat. Kemudian beliau dihantar pula ke sekolah agama iaitu di Pondok Alor Gonchah dan Guar Chempedak.

Ketika berusia 18 tahun, Ustaz Hanafi telah memulakan penghidupannya sebagai perantau sambil menjual ubat-ubatan bersama-sama dengan Pak Ngah Sharif yang bukan sahaja sebagai guru kepadanya tetapi juga bapa angkatnya. Pak Ngah Sharif yang berasal dari Tokai, Kedah telah membimbing beliau mengenali dunia manusia yang bermacam ragam. Ustaz Hanafi semasa hayatnya juga pernah menjadi guru agama dan penyelia zakat.

Ustaz Hanafi yang berjiwa besar, telah membabitkan dirinya dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu. Beliau sebagai seorang aktivis dalam Pertubuhan Seberkas Kedah, pernah berjuang bersama-sama rakan seangkatannya termasuk Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Datuk Senu Abd. Rahman serta Mashor Mohammad (abang kepada Datuk Seri Dr. Mahathir).

Setelah hampir dua dekad beliau berkecimpung di arena politik, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak aktif dalam politik tanah air memandangkan beberapa perubahan telah melanda suasana politik ketika itu. Memadailah beliau menimba pengalaman bersama dengan politik tanah air ketika itu.

Menyingkap semula zaman mudanya, Hanafi banyak menghabiskan masanya bagi menyelidiki dua bidang yang digemarinya iaitu mencari silat Melayu yang benar-benar asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri dan mendalami bidang kerohanian Islam khasnya ilmu tauhid. Keadaan ini telah memberi peluang kepadanya bagi mempelajari pelbagai jenis silat Melayu dan menemui beberapa tokoh agama termasuk Kiai Fathulah Suhaimi dan Tuan Haji Abdullah Fahim.

Setelah mengkaji dan meneliti secara mendalam segala ilmu yang ditimba, Ustaz Hanafi akhirnya membuat keputusan mahu mengembangkan Silat Cekak kepada masyarakat Melayu. Menerusi gerakan silat inilah Ustaz Hanafi berhasrat mendidik anak-anak bangsa agar cintakan kebudayaan warisan dan menyalurkan segala pengalaman serta ilmunya di bidang kemasyarakatan.

Di dalam silat, Ustaz Hanafi telah berjasa dengan melahirkan semula Silat Cekak, jika bukan dengan inisiatifnya, mungkin Silat Cekak akan luput dan tidak dikenali. Dalam usahanya mengembangkan silat Melayu, Ustaz Hanafi sedar bahawa beberapa sikap dan tradisi yang perlu diubahsuai bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Perkara pokok yang diberi perhatian ialah mengubah corak hubungan antara guru dan penuntut.

Ustaz Hanafi Yakin kepada hubungan dua hala dan sebab itu rasa hormat dari penuntut bukan hanya sekadar kerana ia guru, tetapi kerana sifat dan tindak tanduknya yang boleh memenangi hati murid. Ustaz Hanafi beranggapan, sikap takut kepada guru dan mengikut apa sahaja kehendak guru di kalangan penuntut akan merugikan sesuatu pergerakkan silat itu.

Cara penyampaian silat kepada masyarakat umum turut diubahsuai. Ustaz Hanafi berjaya mengatur sistem pelajaran dan corak pengajaran Silat Cekak secara saintifik dengan menggunakan kebijaksanaan mental dan kaedah yang bersistematik. Setiap mata pelajaran diajar secara tertib dan teratur dengan menerangkan matlamat dan sebab-sebab sesuatu pelajaran Silat Cekak.

Ustaz Hanafi juga tidak ketinggalan untuk melakukan pengubahsuaian dalam majlis-majlis penerangan. Penekanan yang diberikan kepada sesuatu majlis penerangan ialah memberitahu masyarakat betapa silat masih sesuai untuk diamalkan dan cara bagaimana konsep Silat Cekak dilakukan. Bagi memastikan kelicinan setiap perubahan dilakukan itu, beliau telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap.


 
YM Tuan Haji Ishak bin Itam
Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia

YM Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam.

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein.

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam, dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya.

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang.

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. YM Tuan Haji Ishak b. Itam terus menerajui PSSCM sehinggalah ke hari ini.